Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berharap parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan memberi sokongan atas dasar setiakawan yang dijalinkan dalam usaha mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, secara demokrasi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan boleh menyertai kempen dan tiada sesiapa akan melarang.

“Kalau kita mengamalkan semangat setia kawan kita dalam satu Kerajaan Perpaduan, mungkin PBB boleh mengharapkan supaya kerusi Jepak yang sebelum ini milik PBB tidak diganggu,” katanya yang juga Menteri Kerja Raya.

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, ICU dan Wad Tambahan di Hospital Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 4 November ini sebagai tarikh pengundian bagi kerusi DUN Jepak manakala pengundian awal ditetapkan pada 31 Oktober ini dan hari penamaan calon pada 21 Oktober depan.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu akibat akibat komplikasi buah pinggang, hati, jantung dan kencing manis.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Dr Zaleha Mustafa menyaksikan pertukaran dokumen Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, ICU dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Institusi Urologo dan Nefrologi (IUN), di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Kesihatan, Dr Zaleha Mustafa membuat lawatan dan menyaksikan pertukaran dokumen Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, ICU dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Institusi Urologo dan Nefrologi (IUN), di sini hari ini.

Diminta mengulas mengenai calon yang akan diketengankan PBB, Alexander berkata, beberapa nama telah disenarai pendek oleh pucuk pimpinan dan pengumuman akan dibuat kelak. – MalaysiaGazette