KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) Julai 2023 menjangkakan prestasi ekonomi yang kekal menyederhana dengan negatif yang lebih baik iaitu 0.9 peratus, mencatatkan 109.0 mata berbanding negatif 2.1 peratus pada Jun 2023.
Peningkatan ini dipacu oleh pertambahan ketara dalam Bilangan Unit Kediaman Yang Diluluskan Pembinaan (200.8%).
Namun begitu, penurunan yang berterusan dalam import benar logam asas berharga & logam bukan ferus lain (-24.3%) dan import benar semikonduktor (-17.4%) mempengaruhi pertumbuhan keseluruhan.
Jabatan Perangkaan berkata, melihat kepada prestasi bulanan, IP mencatatkan negatif 0.7 peratus pada bulan rujukan berbanding negatif 0.5 peratus pada bulan sebelumnya.
Penurunan ini, katanya, disebabkan oleh penyusutan dalam semua komponen kecuali Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.1%) dan Jangkaan Nilai Jualan, Pembuatan (0.1%).
Kadar pertumbuhan IP terlicin bagi Julai 2023 masih kekal di bawah trend 100.0 mata, mencerminkan prestasi ekonomi Malaysia terus menyederhana dalam masa terdekat disebabkan oleh prospek global
yang tidak menentu.
Dari segi keadaan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan 123.5 mata pada Julai 2023, meningkat sebanyak 2.2 peratus berbanding 120.8 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kecenderungan ini disumbangkan oleh semua komponen IS terutamanya Nilai Caruman Benar, KWSP (15.5%).
Pada masa yang sama, prestasi bulanan IS turut bertumbuh sebanyak 0.2 peratus berbanding negatif 0.9 peratus pada bulan sebelumnya, didorong oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.3%). – MalaysiaGazette