Mohd Na'im Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar diiringi Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusof bergambar kenangan bersama pada Majlis Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama Pelajar Baharu Tajaan Skim Pembiyaan Hafiz (SPH) JAKIM di Auditorium JAKIM Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 26 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memperuntukkan sebanyak RM2,951,929 bagi menawarkan tajaan bagi 171 pelajar yang layak menerima Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) tahun ini.

Menterinya, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, penerima SPH tahun ini terdiri daripada tiga pelajar sarjana, 130 pelajar ijazah sarjana muda dalam negara dan 38 pelajar ijazah sarjana muda di luar negara.

Menurut beliau, insentif tersebut adalah sebagai galakan dan penghargaan kepada para huffaz untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang.

“Kerajaan sentiasa peka serta meneliti semua aspek dalam usaha memartabatkan bidang pengajian tahfiz di negara ini, sama
ada dari aspek kualiti, keberhasilan, prospek masa depan, tadbir urus dan kewangan.

“Kerajaan juga mengharapkan agar golongan huffaz ini dapat memberi sumbangan kepada negara dan mengekalkan kebolehan menghafal al-Quran serta menjadihafiz profesional yang memartabatkan al-Quran,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian ketika berucap pada majlis amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama pelajar baharu tajaan SPH di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Mohd Na’im memberitahu, sehingga kini, seramai 1,400 penerima telah beroleh manfaat SPH sejak skim tersebut dimulakan pada 2012.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion untuk pengurusan hal ehwal Islam tahun lalu.

Justeru, Mohd Na’im berharap agar Bajet 2024 yang bakal dibentangkan di Parlimen nanti akan terus memberi keutamaan kepada penambahbaikan institusi Islam dan pendidikan Islam.

“Tentunya, Kerajaan Perpaduan dari semasa ke semasa berusaha untuk memperkasakan institusi pendidikan Islam yang berada di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) merangkumi sekolah agama, institusi tahfiz
dan pondok,” jelasnya. – MalaysiaGazette