MELAKA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sedang memantau beberapa pertubuhan yang dikesan terlibat dalam aktiviti yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Mohd Nawardi Saad berkata, ketika ini lebih 3,000 pertubuhan atau persatuan telah dibatalkan dan disenarai hitamkan kerana telah melanggar undang-undang.
Menurutnya, ia termasuk sebahagiannya RoS sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dikesan terlibat dalam aktiviti jenayah.
“Antara kesalahan-kesalahan adalah terlibat dalam perkara-perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keselamatan awam yang mana mereka ini kita pantau dengan kerjasama pihak polis.
“Kita akan kongsi maklumat dan tindakan dibuat pihak polis dan jika persatuan ini boleh datangkan ancaman kepada keselamatan, ia boleh diharamkan di bawah kuasa menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) kepada 76 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Nawardi berkata, sebahagian besar pemutihan terhadap lebih 3,000 pertubuhan itu adalah disebabkan ianya tidak aktif atau melanggar perlembagaan RoS di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
“Ia termasuklah kerana terdapat masalah dalam berkaitan isu-isu pertikaian yang telah melanggar perlembagaan dan tidak dilaksanakan mengikut syarat-syarat kelulusan,” katanya. – MalaysiaGazette