SHAH ALAM – Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM) Negeri Selangor menggesa kerajaan negeri mewujudkan Dewan Muda Selangor (DMS) sebagai platform untuk anak muda di negeri itu.

Jurucakapnya, Zainal Adzam Zainal Awaluddin berkata, ia membolehkan golongan belia melontarkan pandangan dan idea untuk pembangunan potensi anak muda, merangkumi pelbagai aspek.

“Ia membolehkan anak muda mendapat peluang dan ruang untuk menyuarakan buah fikiran di samping mengasah bakat dan keyakinan mereka dalam pengucapan awam.

“Usaha ini dapat memberi gambaran dan pendedahan jelas tentang fungsi dan perjalanan Dewan Negeri Selangor kepada golongan belia,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, APBM Negeri Selangor melakukan kunjungan hormat ke pejabat Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, 22 September lalu.

Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM) Negeri Selangor melakukan kunjungan hormat ke pejabat Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, 22 September lalu.

Dalam pertemuan itu, Najwan yang juga Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik itu menyambut baik cadangan tersebut dan sedia membawa perkara itu dalam persidangan Dewan Negeri Selangor akan datang.

Dalam pada itu, Zainal berkata, penubuhan DMS berupaya melahirkan 112 belia yang progresif dan mahir dalam pembikinan dasar ataupun polisi yang berkaitan dengan Dewan Negeri Selangor.

“DMS bakal menjadi platform untuk menyebarkan kesedaran demokrasi secara efektif.

“Ia juga mampu membina empayar kepimpinan yang bakal menjadi pelapis buat Selangor di masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast