Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat ke ruang pameran selepas Majlis Penutup Kemuncak ICT Huawei Malaysia 2023 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 27 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan mendapat keseimbangan teknologi Barat dan Timur selepas membuat peralihan kepada rangkaian dwi 5G yang membolehkan penyertaan yang lebih berkesan daripada syarikat Huawei China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan membenarkan rangkaian 5G keduanya itu beroperasi mulai tahun depan kerana ingin memecahkan monopoli yang dipegang oleh satu rangkaian sahaja dikendalikan kerajaan.

Bagaimanapun beliau turut mengakui terdapat kebimbangan daripada beberapa negara Barat yang mahu Malaysia berpegang kepada rancangan asalnya itu.

“Kami percaya dan membuat keputusan tepat bahawa sementara kami mendapat yang terbaik dari Barat, kami juga harus mendapat manfaat yang terbaik dari Timur.

“Selepas perbincangan yang meluas, kami membuat keputusan untuk membenarkan rangkaian dwi, ​dengan penyertaan yang lebih berkesan oleh Huawei,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sidang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Huawei di MITEC di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui kebimbangan beberapa negara mengenai isu keselamatan dan kapasiti teknologi yang melibatkan faktor dari China.

Namun beliau berkata, keputusan untuk membenarkan rangkaian 5G kedua itu dibuat supaya Malaysia boleh mendapat manfaat daripada teknologi yang berbeza.

Sebelum ini, media asing melaporkan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat telah memberi amaran kepada Malaysia tentang risiko kepada keselamatan negara dan pelaburan asing di tengah-tengah usaha Huawei untuk membida peranan dalam infrastruktur telekomunikasinya di negara ini.

Pada 2021, Kementerian Kewangan mengumumkan penubuhan sebagai pengendali Rangkaian Borong Tunggal (SWN) 5G yang berasaskan model pemulihan kos, berteraskan penawaran dan bukannya berdasarkan model keuntungan maksimum

Namun ia telah mendapat kritikan industri berhubung harga dan persaingan yang ditawarkan. – MalaysiaGazette