Sanusi Md Noor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini memaklumkan beliau menolak untuk dinamakan sebagai calon bagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan ke-69 parti itu, bulan depan.

Menteri Besar Kedah itu berkata ini kerana merasakan dirinya belum cukup layak untuk memegang jawatan tersebut dan beliau lebih selesa menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sahaja.

“Saya tahu tahap dan kualiti diri saya macam mana… hendak memimpin PAS atau sektor lain, ciri-ciri kelayakan tidak sama, sebab itu saya boleh jadi Menteri Besar tetapi Pesuruhjaya PAS negeri orang lain pegang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pencalonan namanya untuk bertanding jawatan itu.

Menyentuh tindakan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional di kerusi Parlimen Kemaman, Muhammad Sanusi berkata parti itu menerima keputusan tersebut.

Beliau berkata pimpinan PAS sedang berbincang dengan peguam sama ada akan mengemukakan rayuan atau memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil.

Pada 3 Jan lepas, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Kemaman, Marang dan Kuala Terengganu atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri beberapa hari sebelum pengundian.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast