IPOH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelancong dari ini India yang hilang sejak 22 September lalu ketika mendaki Gunung Jasar, Cameron Highlands yang disambung hari ini menemukan kesan tapak kaki berkemungkinan jejak mangsa.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pasukan team D yang mencari di sekitar Sg Ubi, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), menemukan kesan tapak kaki dan kesan dilalui orang.
“Komander Ops menganggapkan berkemungkinan jejak mangsa, pencarian hari ini telah fokus dalam radius 5 kilometer, melibatkan kawasan denai melibatkan tempat terlibat bermula di Gunung Jasar dan Kampar PAS menghala ke Bharat Tea,” katanya dalam satu kenyataan.
Zufadli berkata, sasaran pencarian ialah sekitar 500 meter dari Gunung Jasar menggunakan sweeping kiri kanan denai secara menyeluruh.
Bagaimanapun SAR yang mengandungi kekuatan lebih 70 anggota itu ditangguhkan petang tadi dan perancangan operasi esok akan memfokuskan di kawasan menghala jejak yang dikesan, iaitu 500 meter dari puncak Gunung Jasar.
“Pencarian juga akan memfokuskan kawasan cerun dan ‘off trail’ di sekitar kawasan yang mempunyai jejak,” katanya.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Azri Ramli dalam kenyataan memaklumkan Nandan Suresh Nadkarni, 44, dilaporkan hilang selepas mendaki Gunung Jasar, Tanah Rata, Cameron Highlands sejak 22 September lepas.
Mangsa telah mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House, Tanah Rata pada 19 September dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 September.
Hasil siasatan awal polis mendapati pada 22 September, mangsa telah keluar dari hotel seorang diri untuk melakukan aktiviti pendakian di trail 10 Gunung Jasar, Tanah Rata berdasarkan beberapa rakaman CCTV yang diperoleh di sekitar kawasan Tanah Rata. – Bernama