Shaidulanuar Darmo

KUALA LUMPUR – Akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu kerusi Parlimen Hulu Selangor dan juga Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali kekal sebagai kerusi tradisi parti itu.

Naib Ketua Cabangnya, Shaifulanuar Darmo berkata, pihaknya mencapai beberapa usul dari suara akar umbi baik daripada golongan reformis, anak muda dan wanita yang bercita-cita membina masyarakat Madani yang progresif.

“Antara usul penting yang dikemukakan, dibahas serta dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat berkenaan adalah gesaan mengekalkan kerusi Parlimen Hulu Selangor dan DUN Batang Kali sebagai kerusi tradisi di tangan Keadilan Hulu Selangor.

“Keputusan ini diambil secara rasional dan juga relevan kerana rekod penerimaan pengundi, demografi dan kekuatan jentera kerja di kedua-dua kawasan berkenaan dilihat memberi kelebihan untuk Keadilan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Selain itu katanya, PKR telah dua kali memberi ruang kepada parti kawan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO untuk bertanding di kerusi yang pada awal telah dipersetujui untuk ditanding PKR Hulu Selangor.

“Malangnya tragedi pengkhianatan pada 2018 telah menyebabkan Pakatan Harapan kehilangan satu kerusi iaitu Batang Kali dan rakan kami UMNO pula tidak dapat mempertahankan kemenangan tersebut pada Pilihanraya Negeri 2023.

“Justeru, adalah tidak keterlaluan sekiranya akar umbi Keadilan Hulu Selangor menggesa ketetapan yang dibuat kami agar dibawa untuk pertimbangan serius di peringkat lebih tinggi parti Pusat,” Shaifulanuar. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. PKR tak percaya ZAHID HAMIDI atau tidak mahu membantu UMNO? kalau nak baik bagi je UMNO sebab kan KAWAN BAIK… tunjuk dan beri sokongan PENUH kepada ZAHID HAMIDI kerana satu kerajaan. jangan mulakan perperangan yang rakus KEJAM

Comments are closed.