Noor Hariri Mohamed Noor

KOTA BHARU – UMNO Kelantan tidak terkejut dengan keputusan diisytiharkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa tiada pertandingan dilaporkan bagi lima jawatan tertinggi parti itu.

Timbalan Ketua Penerangan negeri, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, walaupun sudah dijangka awal lagi tidak akan berlaku pertandingan bagi jawatan Presiden, Timbalan dan Naib, tetapi UMNO tetap menghormatinya selagi mengikut perlembagaan.

Menurut beliau, pada pandangannya apabila keputusan tiada pertandingan perkara pokoknya adalah untuk menjaga kestabilan parti daripada perpecahan pasca pemilihan.

“Biasalah, selepas pemilihan yang kalah akan menjauhkan diri.

“Cuma bezanya, Pas kali ini tidak pertandingkan lima jawatan teratas. Sangat mengejutkan.

“Ini suatu keputusan yang pelik dan menjadi tanda tanya sebahagian ahli Pas yang tentunya merasakan hak mereka dinafikan, seolah tidak mahu watak baru menggantikan pimpinan sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Takiyuddin sebagai berkata, lima jawatan tertinggi Pas tidak akan dipertandingkan pada Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Beliau berkata, ini kerana hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, manakala satu daripada empat calon Naib Presiden telah menarik diri.

Katanya, beliau baru menerima pengesahan seorang calon bagi jawatan Naib Presiden menarik diri iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Mengulas lanjut Noor Hariri berkata, dalam hal pertandingan, sudah tentu UMNO lebih demokratik apabila hanya dua jawatan utama sahaja tidak dipertandingkan sebelum ini.

Manakala tiga jawatan Naib Presiden tetap dibuka untuk pemilihan tidak seperti Pas yang terus menutup ruangnya kepada pemimpin mereka.

“Lagipun, pemimpin UMNO berbeza dengan Pas. Jika dilihat dari mula Tan Sri Abdul Hadi Awang memegang jawatan Presiden Pas selama 20 tahun bermula 2003 hingga kini.

“Sedangkan UMNO telah mempunyai tiga Presiden bermula daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Ternyata UMNO lebih demokratik dan mendengar suara akar umbi berbanding Pas,” ujar beliau. – MalaysiaGazette