ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir di Kedah menurun hari ini kepada 408 orang berbanding 437 orang daripada 147 keluarga.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mangsa itu ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi di daerah Kota Setar.
Tiga PPS terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman yang menempatkan seramai 274 mangsa, SK Seri Gunung (91 mangsa) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Merah (43 mangsa).
“Jumlah mangsa di PPS semakin berkurangan dan kesemua mereka akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sekiranya air sudah surut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Media semalam melaporkan banjir di tiga daerah di Kedah beransur pulih apabila 10 pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup dan 946 daripada 1,383 mangsa telah dibenarkan pulang setakat jam 8 malam pada Sabtu. – MalaysiaGazette