Guar Syed Alwi FC. menjulang Liga Super Perlis 2023 selepas menewaksan pasukan Lion Junior FC di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Cawangan Perlis kelmarin.

KUALA LUMPUR – Kehilangan bekas pemain kebangsaan, Amar Rohidan terjawab apabila dia kini bergelar jurulatih pasukan Guar Syed Alwi FC (GSA FC) yang muncul juara Liga Super Perlis 2023 selepas mengatasi cabaran Lion Junior FC 1-0 dalam aksi final kelmarin.

Menerusi video yang tular di TikTok, ia memperlihatkan keceriaan Amar, 36, meraikan kejayaaan anak buahnya itu dalam liga yang turut mendapat pengiktirafan daripada Amateur Football League (AFL) sebagai liga yang berstatus M5 iaitu liga amatur tahap ketiga di Malaysia.

Ketika aktif sebagai pemain bola sepak, Amar pernah mewakili Perlis, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Felda United dan Kelantan FC.

Dia pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak dua kali, Liga Super (sekali) dan Piala FA sekali.

Amar Rohidan di zaman kegemilangannya.

Amar juga merekodkan 32 penampilan bersama Harimau Malaya dari 2009 hingga 2012.

Tempoh tersebut turut menyaksikan beliau membantu pasukan yang dibimbing Datuk K. Rajagopal itu muncul juara Piala AFF pada 2010.

Sementara itu, Liga Super Perlis ialah inisiatif sukan kerajaan negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan dikelola Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNP).

Penganjuran liga ini bertujuan mengenalpasti bakat-bakat baru bola sepak negeri berkenaan. – MalaysiaGazette