KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah sempena Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bilangan 7 tahun 2023, baru-baru ini.
Pada pembukaan mesyuarat tersebut, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor mewakili pengurusan tertinggi UMS menyampaikan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak KPT kerana memilih UMS sebagai tuan rumah pada kali ini.
“UMS turut berbesar hati mengucapkan terima kasih atas kelulusan projek-projek yang telah diberikan oleh KPT sebelum ini.
“Untuk makluman, pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), KPT telahpun meluluskan sejumlah RM104 juta untuk 8 projek, manakala melalui RMK-12 pula, UMS menerima kelulusan RM109.5 juta meliputi 10 projek. Ini tidak termasuk projek-projek yang telah diluluskan melalui naik taraf infra usang dan fasiliti OKU dengan jumlah RM10.6 juta setakat ini,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan UMS sedang dalam pembinaan Hospital Pengajar UMS (HUMS) di bawah Kerjasama Awam-Swasta (PPP).
Hospital Pengajar UMS telah pun mencapai 46% kemajuan dan dijangka siap pada bulan Jun tahun 2025.
Bagi Rolling Plan ke-4 RMK12, UMS telahpun memohon sebuah Dewan Kuliah Pusat di Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan dengan anggaran kos berjumlah RM55.5 juta dan selebihnya adalah permohonan ICT, penggantian peralatan usang dan pembaikan bangunan asrama Kampus Antarabangsa Labuan yang telah usang.
Mesyuarat JTPK tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar. Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, wakil university awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan agensi di bawah KPT. – MalaysiaGazette