SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenal pasti sejumlah 175, 909 saman aktif tertunggak kenderaan perdagangan bernilai RM52.772 juta membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Saman tertunggak itu membabitkan individu dan syarikat kenderaan perdagangan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun sejak 2018.
Pengarah Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, Selangor menjadi negeri yang merekodkan jumlah saman tertunggak paling tinggi iaitu sebanyak 61, 940 saman.
“Kemudian Pahang berada di tempat kedua dengan merekodkan sebanyak 16,372 saman aktif yang masih tertunggak, Perak (13,790), diikuti Kedah (13,743), Pulau Pinang (7,828), Kuala Lumpur (9,825, Pahang, 16,372 dan Negeri Sembilan 10, 270.
“Kesemua syarikat perdagangan dan pemandu yang memiliki saman tertunggak itu telah diberikan tempoh membayar saman tetapi masih tidak mengambil serius dan gagal melaksanakan tanggungjawab itu.
“Jadi, selepas ini JPJ akan mengambil tindakan lebih keras dan tegas tanpa kompromi bagi mengingatkan pemandu kenderaan perdagangan dan syarikat majikan agar tampil menyelesaikan segera tunggakan itu kepada JPJ dan mematuhi peraturan lalu lintas tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi kenderaan komersial di Plaza Tol Kota Kemuning menghala ke Shah Alam malam tadi.
Beliau dalam sidang media itu tidak menghuraikan secara terperinci pecahan kategori atau jenis-jenis saman-saman tertunggak itu.
Tambah Lokman, berdasarkan jumlah saman tertunggak termasuk disenarai hitam itu menunjukkan ia sebagai satu ketirisan kepada pematuhan lalu lintas dan satu proses operasi pemutihan akan dilaksanakan JPJ terhadap kesemua syarikat dan pemandu kenderaan perdagangan yang bersalah itu.
Dalam perkembangan sama,beliau berkata, Op Patuh Khas Fasa kedua terhadap kenderaan perdagangan akan dilaksanakan selama sebulan sehingga akhir Oktober ini untuk mengesan mana-mana syarikat dan pemandu yang ingkar membayar saman dan telah disenaraihitam atau waran tangkap.
“Malah Op Patuh Khas ini akan turut memfokuskan ke arah membudayakan pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan keselamatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan juga Akta Perlesenan Kenderaan Perdagangan.
“Selepas ini JPJ tidak sesekali akan akan berkompromi dalam soal keselamatan jalan raya dan pemeriksaan secara teliti akan dijalankan termasuk dari sudut teknikal, kompetensi pemandunya, perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah supaya hanya pemandu dan kenderaan perdagangan yang selamat sahaja layak berada di jalan raya.
Dalam Op Patuh Khas membabitkan Fasa Pertama sejak 1 hingga 30 September yang lalu, Lokman memaklumkan sebanyak 420,334 buah motosikal telah ditahan dan periksa di atas jalan raya.
Daripada jumlah itu, sebanyak 135,446 notis saman telah dikeluarkan dengan kesalahan yang paling utama dikenalpasti ialah penunggang motosikal yang tidak mempunyai perlindungan insurans (51,643 saman) diikuti kesalahan tidak mempunyai lesen memandu sah (39,648 saman), kesalahan teknikal (12,550 saman ) dan melamggar isyarat lalu lintas (1,758 saman).
“Dalam operasi sama, JPJ juga telah berjaya menyita sebanyak 6,567 buah motosikal yang diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalanraya.
“”Walaupun sepanjang pelaksanaan Op Patuh Khas September lalu menyaksikan pertumbuhan positif dalam pematuhan peraturan lalu lintas oleh penunggang motosikal, namun ia masih belum mencapai tahap yang dianggap memuaskan dan juga sangat selamat.
“Oleh itu, kita selepas ini akan melakukan pemeriksaan secara rambang ke atas penunggang motosikal di atas jalan raya agar mereka sentiasa mematuhi peraturan dan meningkatkan tahap pematuhan tersebut,” tegas beliau.-MalaysiaGazette