Wan Ahmad Fayhsal.-Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta supaya menguna pakai formula Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) dalam menghadapi krisis makanan yang dihadapi negara pada 2017 dan 2018.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Hamzah berjaya mengurus tekanan daripada pemain utama industri gula dan harga barangan dunia yang melambung.

“Malaysia bukan sahaja kekal berupaya menetapkan harga siling, tetapi diperkenalkan pula program Jualan Sentuhan Rakyat di seluruh 222 kawasan Parlimen dua kali setiap bulan.

“Hasilnya, formula Hamzah ketika itu berupaya meredakan kegelisahan rakyat serta menghadirkan senyuman dalam kalangan peniaga dan pemain industri – ertinya semua merasa.

“Jika sekalipun ego politik kerajaan tebal, kerana Hamzah sekarang ini merupakan Ketua Pembangkang, ubah suailah dan lakukanlah penjenamaan semula,” kata Ahli Parlimen Machang tersebut.

Menurutnya, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu tidak kisah ‘formulanya’ ditiru kerana apa yang penting adalah perut rakyat.

Wan Ahmad Fayhsal mengulas situasi yang dihadapi oleh rakyat yang ketika ini terpaksa berbaris dan berebut untuk membeli barang makanan seperti beras, gula dan minyak masak.

“Soal perut rakyat adalah kayu ukur terpenting dalam menilai gagal atau tidak sesebuah kerajaan. Apa makna gah bercakap di pentas dunia tetapi rakyat terpaksa berebut demi sekampit beras.

“Riuh sana-sini rakyat meluahkan rasa kecewa. Tidak pernah dalam sejarah Malaysia pasca kemerdekaan, rakyat terpaksa berebut dan berbalah-balah demi mendapatkan makanan asasi,” kata beliau.

Tambah beliau, era Malaysia Madani tampaknya bermasalah dan kerajaan bagaikan tenggelam punca.

Minggu ini menurut beliau, ringgit terpelosok RM4.72 berbanding dolar Amerika yang menjadikan ia terburuk dalam tahun ini.

Katanya, demi kelangsungan jangka panjang, sudah sampai masanya pengeluaran makanan tahap sara diri (SSL) menjadi agenda utama negara.

Produktiviti sektor pertanian negara mesti ditingkatkan dan tumpuan mesti diberikan secara agresif kepada aspek pembangunan rantaian bekalan serta pasaran yang sihat dan adil.-MalaysiaGazette