KUALA LUMPUR – Insiden seorang remaja melepaskan tembakan di pusat membeli belah Siam Paragon di Bangkok semalam merupakan pengalaman terburuk yang pernah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim lalui.
Beliau yang berada di ibu negara Thailand untuk menyaksikan perlawanan antara JDT dan BG Phantum berkata, orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan.
Katanya, ketika kejadian beliau dan keluarga sedang duduk di lobi hotel dan ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan.
“Kami membawa kanak-kanak/keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.
“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Baginda masih terbayang sewaktu menyuruh anak-anaknya menundukkan kepala sementara menunggu kenderaan tiba berkata: “Semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini,”.
Tambahnya, beliau dan pasukan keselamatan berdiri di hadapan keluarganya untuk membina perisai manusia bagi melindungi mereka dan apa yang terlintas di fikiran ketika itu adalah untuk membawa keluarga dan pasukannya keluar dari tempat itu.
“Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis.
“Saya menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan kami untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa kami ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut,” ujarnya.
Tunku Ismail berkata, beliau memberitahu mereka untuk membawa keluarganya ke Kedutaan Malaysia namun pemandu memberitahu bahawa Kedutaan Singapura lebih dekat lalu menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor.
Katanya, beliau dan keluarga selamat berada di kedutaan dan menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memaklumkan apa yang berlaku.
“Duta Besar Malaysia turut ada bersama kami,” katanya.
Menurut Tunku Ismail, setelah semuanya selamat beliau dan keluarga ke lapangan terbang dan terbang pulang ke Johor.
Malangnya, beliau terlepas perlawanan JDT namun bersyukur kerara keluarga dan pasukannya selamat. – MalaysiaGazette