Datuk Seri Mohamad Sabu dan menteri-menteri pertanian ASEAN menyaksikan demonstrasi di Laman Padi

SHAH ALAM – Menteri-menteri pertanian ASEAN memberi jaminan untuk mengutamakan negara anggota dalam bekalan makanan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jaminan itu diberikan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-45.

“Kita bincang mengenai keselamatan makanan, misalnya dalam negara ASEAN ini kalau berlaku kekurangan kita harap negara ASEAN lain dapat menampung dengan cepat.

“Kita kalau dengan Thailand, (bekalan) beras dan ayam yang selalunya boleh dapat dengan cepat kerana kedudukan yang dekat.

“Beras pun begitu, menterinya berkata, selagi ada keupayaan mereka akan jual kepada Malaysia. Vietnam pun sama iaitu mereka akan utamakan ASEAN terlebih dahulu,” kata Mohamad.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan bersama menteri-menteri pertanian ASEAN ke Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) hari ini.

Lawatan turut disertai delegasi Jepun dan Republik Korea sebagai ahli ASEAN Campur 3 serta Timor-Leste sebagai negara pemerhati ASEAN.

“Saya kagum dengan taman ini. Saya rasa promosi kita belum cukup untuk membawa pelancong tempatan dan luar negara ke sini. Tempatnya indah.

“Kehadiran menteri pertanian ASEAN beri semangat kepada taman ini untuk mereka meningkatkan prestasi dan mutu setaraf dengan taman-taman antarabangsa,” katanya.

Rombongan terbabit antaranya dibawa menyaksikan demonstrasi di Laman Padi bagi melihat penggunaan traktor pembajak, transplanter dan dron oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Delegasi turut melepaskan 10,000 ekor anak ikan lampam sungai dan ikan terbul di Kolam Nusantara yang dikendalikan oleh pihak Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Program kemudiannya disusuli dengan aktiviti penanaman 14 pokok Tongkat Ali di Taman Malaysia yang dikendalikan oleh pihak Jabatan Pertanian Malaysia (DOA).

Mengakhiri lawatan rombongan telah dibawa ke Rumah Budaya bagi menikmati pemandangan keseluruhan TNBSA secara lebih dekat.

Semalam Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata Malaysia berharap negara pengeksport utama beras dalam ASEAN, dapat mengutamakan bekalan makanan ruji itu kepada negara anggotanya.

Foong Hin berkata, saranan itu akan dibawa Malaysia dalam sesi perbincangan dua hala sempena AMAF.

“Mungkin pada sesi bilateral, akan dibangkitkan seperti kita mahu mengeratkan lagi hubungan antara dua negara supaya meletakkan keutamaan eksport beras kepada negara anggota ASEAN.

“Itu kita akan buat pada sesi bilateral. Dia bukan secara umumnya, kerana bukan semua negara ASEAN ada beras,” katanya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast