MELAKA – Seorang doktor yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya maut selepas kereta dipandu terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori di Jalan Krubong di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi, mangsa, Sandeep Singh Panthlia, 41, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta jenis Naza Forte dipandu mangsa dari arah Alor Gajah ke Klebang Besar memasuki laluan bertentangan sebaik tiba di tempat kejadian.
“Pada masa sama, sebuah lori jenis Isuzu Commando dipandu lelaki berusia 57 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak sebelum bertembung.
“Akibatnya, mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu lori cedera di kepala, tangan dan hidung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Christopher berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan Pol 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
Polis turut meminta saksi bebas yang terlihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette