Tangkap layar dari klip video yang tular menunjukkan beberapa penumpang di dalam bas yang kebanyakannya warga emas mempersoalkan tindakan pemandu bas terbabit.

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sudah mengambil tindakan terhadap pemilik sebuah bas ekspres yang dipandu secara mengundur sejauh satu kilometer selepas terlepas susur keluar Simpang Ampat, Lebuh Raya Utara Selatan, Selasa lalu.

Pengarahnya Muhammad Firdaus Shariff berkata, hasil maklumat dan siasatan, JPJ telah mengeluarkan notis temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kepada pemilik bas berkenaan.

“Ini bagi mengenal pasti butir-butir pemandu bagi melengkapkan siasatan kes dan kegagalan mematuhi notis ini membolehkan tindakan kompaun dikenakan terhadap pemilik syarikat.

“Ia termasuklah tindakan senarai hitam sekiranya gagal membayar kompaun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Firdaus Shariff

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan JPJ Melaka sedang menyiasat insiden itu yang tular melalui klip video berdurasi 43 saat dipercayai dirakam penumpang bas berkenaan.

Klip video terbabit menunjukkan beberapa penumpang di dalam bas yang kebanyakannya warga emas mempersoalkan tindakan pemandu bas terbabit.

“Bas terlangsung (terlajak) susur keluar Simpang Ampat, Alor Gajah lebih kurang satu kilometer, kemudian bas mengundur ke belakang di lebuh raya dan masuk semula susur keluar.

“Perbuatan ini sangat-sangat berbahaya kepada kami penumpang bas tersebut dan berharap ada tindakan daripada pihak berwajib,” tulis keterangan yang tular itu.

Mengulas lanjut Muhammad Sharif berkata, sekiranya didapati bersalah, pemandu tersebut boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 79(2) 1987 kerana tidak mematuhi/mengabaikan isyarat lalu lintas.

“Ia termasuk juga tindakan mengikut Kaedah 15(d) Kaedah-Kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam 1959 kerana tidak memastikan keselamatan penumpang semasa berada di dalam atau semasa menaiki atau turun daripada kenderaan

“Kaedah 53 kaedah-kaedah lalu lintas jalan 1959 kerana memandu kenderaan di lorong kecemasan,” katanya.

Tambahnya, JPJ Melaka memandang serius perkara ini dan menasihatkan semua pemandu kenderaan persendirian, perkhidmatan awam dan perdagangan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast