Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Menteri Industri dan Teknologi Maju Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sultan Ahmed Al Jaber menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi (kanan) sempena lawatan ke Bandar Masdar dan Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence (MBZUAI).

KUALA LUMPUR – Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selama dua hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menjana pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion untuk Malaysia dalam sektor seperti tenaga boleh baharu, aeroangkasa dan logistik, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Pelaburan yang diraih termasuk komitmen daripada Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) untuk melabur sehingga RM37.8 bilion bagi membangunkan projek tenaga boleh baharu dengan kapasiti 10GW di Malaysia.

Perdana Menteri memulakan lawatan kerja selama dua hari ke UAE pada 5 Okt.

Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Masdar telah diadakan hari ini.

“Kami amat berbesar hati kerana walaupun tempoh lawatan kerja yang singkat, kami berjaya meraih pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion. Hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-UAE adalah kukuh dan meliputi pelbagai sektor.

“Sejajar dengan misi Push for Net Zero Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), penyelesaian tenaga boleh baharu dan rendah karbon menjadi aspek penting dalam pelaburan sasaran baharu Malaysia,” kata Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya kerjasama strategik MITI dengan Masdar dan Majlis Pelaburan Antarabangsa UAE (UAEIIC) akan memberi laluan kepada aspirasi Malaysia terhadap teknologi baharu yang memberi keutamaan kepada penyelesaian rendah karbon, pembuatan hijau dan ekonomi kitaran.

Sementara itu, MIDA dan UAEIIC turut bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama sedia ada bagi meningkatkan kerjasama ekonomi mampan Malaysia-UAE untuk meningkatkan aliran pelaburan yang mampan antara kedua-dua negara.

Tengku Zafrul turut menjadi hos kepada sesi meja bulat dengan pemimpin industri, yang termasuk rakan sejawatannya, Menteri Negara bagi Perdagangan Luar UAE Dr Thani Ahmed Bin Al Zeyoudi. Sesi itu telah menarik lebih 40 wakil daripada 21 syarikat UAE, termasuk Abu Dhabi National Oil Company, TAQA, MASDAR, Al-Dahra, Lulu Group dan Royal Jet.

Kebanyakan syarikat ini adalah pelabur sedia ada dan telah menyatakan minat untuk meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia.

Satu lagi hasil utama daripada lawatan kerja itu ialah pengumuman kepimpinan baharu untuk Majlis Perniagaan Malaysia-UAE (MUBC).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz telah dilantik sebagai pengerusi bagi bahagian Malaysia manakala Naib Presiden Kanan Mubadala Energy Rashid Alblooshi telah dilantik sebagai pengerusi untuk bahagian UAE.

MUBC telah ditubuhkan secara bersama pada 2012 oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia serta Federation of UAE Chambers of Commerce and Industry.

Pada 2022, UAE menjadi rakan dagang kedua terbesar dalam kalangan negara-negara di rantau Asia Barat dan Majlis Kerjasama Teluk.

Perdagangan dua hala mencecah RM38.73 bilion pada 2022, mewakili peningkatan yang ketara sebanyak 73.5 peratus tahun ke tahun. Dari segi pelaburan, UAE kini pelabur terbesar di Malaysia dari rantau Asia Barat dan menduduki tempat kedua terbesar dalam kalangan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam.

Sejumlah RM6.19 bilion pelaburan daripada 44 projek pembuatan dari UAE telah diluluskan setakat Jun 2023, berpotensi menjana 4,534 peluang pekerjaan.- BERNAMA