MELAKA – Padah menendang pekerjanya kerana memberi alasan sesuka hati apabila tidak hadir bekerja, seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nabil Fikri Mohd Noor, 36, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Syahzuan Mohamad Effendi, 22 dengan cara menendang mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Jalan TU40, Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah, di sini, pada kira-kira pukul 11 malam 22 November tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Difahamkan, tertuduh bertindak demikian selepas berang dengan alasan pekerjanya itu ketika kejadian yang memberikan alasan sesuka hati apabila tidak hadir bekerja di sebuah restoran.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal namun peguam tertuduh, Umar Zulkarnain memohon hukuman denda ringan kerana tertuduh sudah insaf atas kesalahannya selain bakal menimang anak ketiga tidak lama lagi.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Nabilah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau 10 hari penjara jika gagal bayar – MalaysiaGazette