Jamaliah Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengesan bau seakan-akan diesel sehingga bacaan 3 ton dikesan di muka sauk loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang, jam 11.15 malam semalam.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan pemantauan statik di Sungai Sembah dan Sungai Selangor menunjukkan bacaan 0 ton sebelum pukul 11 malam.

“Tindakan segera telah dilaksanakan oleh pihak LUAS dan Air Selangor dengan meletakkan oil boom di muka sauk LRA.

“LUAS telah mengaktifkan pelepasan air daripada HORAS 600 sebanyak 300 juta liter sehari (JLH) dan 290 JLH daripada kolam alternatif di Bestari Jaya dengan 590 JLH ke Sg. Selangor bermula 12 pagi bagi meningkatkan faktor pencairan sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, LRA Sungai Langat 1, 2 dan 3 sudah mula beroperasi 4 pagi tadi susulan insiden pencemaran bau yang telah dikesan di Sungai Selangor.

Walaupun begitu masih terdapat gangguan bekalan air dan tekanan air rendah di sebahagian kawasan di wilayah Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Selain itu, tiga pintu baraj Bestari Jaya juga telah dibuka bagi tujuan flushing segera aliran ke hilir muka sauk.

“Kekerapan pensampelan bau bersama pihak Air Selangor juga ditingkatkan kepada setiap 30 minit di muka sauk LRA,” katanya.

Tambah Jamaliah, siasatan LUAS telah dilakukan ke beberapa kawasan malam semalam meliputi beberapa lokasi antaranya tempat pengorekan pasir, aktiviti pembangunan berhampiran dan Jambatan Sungai Sembah.

“Hasil siasatan dan pensampelan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti ini menunjukkan bacaan bau 0 ton dan tiada kesan minyak didapati.

“Insiden ini berpotensi disebabkan oleh faktor kuantiti minyak minima dan bersifat sementara masuk ke Sungai Selangor. Sampel-sampel yang telah diambil dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa lanjut,” katanya.

Katanya lagi, hasil koordinasi dan tindakan pantas LUAS dan Air Selangor, mitigasi pencemaran ini telah berjaya dilaksanakan segera.

“Pihak Air Selangor melaporkan LRA Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 2.30 pagi dan LRA SSP1, 2 dan 3 pada  4 pagi dengan tempoh henti tugas sementara tidak melebihi empat jam.

“Siasatan susulan pengenalpastian punca diteruskan hari ini.

“Kerajaan Selangor dan LUAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan seksyen 79, Enakmen LUAS (Pindaan) 2020,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast