Lee Kah Choon.

GEORGE TOWN – Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Kah Choon telah meletakkan jawatan pada 2 Oktober lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow selain memaklumkan beliau turut menerima surat peletakan jawatan Kah Choon sebagai ahli lembaga pengarah Invest Penang.

“Saya terima notis letak jawatan daripada Kah Choon dengan notis sebulan dan beliau juga telah menyatakan kesediaan untuk melepaskan mana-mana atau semua jawatan yang disandangnya termasuk di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Penang Hill Corporation.

“Malah sebelum pilihan raya umum lagi, beliau telah memberitahu bahawa ingin meluangkan masa untuk memberi tumpuan kepada soal peribadi.

“Bagi pihak kerajaan Pulau Pinang, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau atas sumbangan besarnya kepada pembangunan negeri ini,” katanya dalam kenyataan media.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kon Yeow menegaskan, penganugerahan projek Taman Perindustrian Byram kepada UMECH Construction Sdn Bhd oleh PDC dilakukan berdasarkan keputusan dalam mesyuarat jawatankuasa kecil pada 28 November lalu.

“Sesi pembentangan berlangsung pada 28 November itu dipengerusikan oleh saya sendiri dan dihadiri Timbalan Ketua Menteri I ketika itu, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; P. Ramasamy; Datuk Abdul Halim Hussain dan Kah Choon,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast