Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Uniti Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa.

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap nasib lebih 500,000 pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentang pada 13 Oktober ini.

Presidennya, Amir Hamzah Md Isa berkata, sebagai sebuah persatuan yang menaungi 54 IPTS pihaknya mahu kerajaan memperluaskan kadar pembiayaan penuh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua pelajar dalam kategori M40.

“Berdasarkan dasar semasa, pelajar dari keluarga M40 hanya ditawarkan pembiayaan pada kadar 75 peratus.

“Pembiayaan penuh RM4,000 untuk satu semester bagi pengajian peringkat diploma kepada pelajar dalam kelompok keluarga M40 sama seperti yang dinikmati oleh pelajar keluarga B40 bukan sahaja meringankan bebanan ibu bapa tetapi pada masa sama, menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan akses lepasan sekolah ke pendidikan tinggi,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Amir Hamzah turut meminta kerajaan memperluaskan tawaran pinjaman pendidikan Mara kepada pelajar bumiputera berkelayakan yang menuntut di IPTS bertaraf kolej milikan bumiputera berstatus cemerlang (MyQUEST 2022–Berdaya Saing) yang menawarkan program pengajian peringkat diploma dalam kategori kritikal.

Tambah beliau, statistik menunjukkan pelajar bumiputera daripada keluarga B40 dan M40 dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baik dan sederhana lebih cenderung mengikuti program diploma.

Jelasnya, ini kerana tempoh pembelajaran yang singkat dan graduan dalam bidang-bidang kritikal menjadi pilihan industri dan mereka mudah mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Sementara itu, beliau mencadangkan kerajaan memperluaskan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan kepada pelajar IPTS.

“Ketika ini, hanya mahasiswa di universiti awam, pelajar politeknik, kolej komuniti, pelajar matrikulasi serta institut pendidikan guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ditawarkan bantuan subsidi tersebut.

“Kesamarataan hak dalam kalangan pelajar IPT tanpa membezakan IPT awam atau swasta di negara ini wajar juga diberikan perhatian oleh kerajaan Madani dalam Belanjawan 2024 pada Jumaat ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette