Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa keluar dari mahkamah selepas sebutan keputusan representasi beliau dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah bagi membatalkan enam pertuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company di depan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin di Mahkamah Tinggi Jenayah, Jalan Duta. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-47 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerima cadangan peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak adanya logik Bank Riyad yang memasukkan dana ke dalam akaun peribadi  bekas perdana menteri itu mempunyai sumber lain.

Ini kerana kata peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee pada sesi soal balas dengan saksi, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan tidak sepatutnya membuat rumusan dana masuk itu datangnya daripada syarikat Good Star.

Dana yang dimaksudkan itu ialah sebanyak AS$20 juta daripada Good Star (syarikat milik Jho Low) melalui Bank Riyad ke akaun peribadi Ambank Najib.

Adam melalui analisanya sebelum ini mendakwa, dana AS$20 juta yang bersamaan dengan nilai lebih RM60juta telah dipindahkan ke akaun peribadi Najib telah dilakukan seorang individu bernama Putera Faisal Turki Bandar al-Saud dari Arab Saudi menggunakan Bank Riyad.

Dakwa Adam, akaun Putera Faisal juga telah menerima jutaan ringgit pada pelbagai transaksi daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho Low atau Jho Low.

Bagaimanapun hari ini, ketika Muhammad Shafee mencadangkan andainya Bank Riyad memperoleh dana melalui sumber lain, Adam bersetuju.

Shafee: Anda tidak boleh buat rumusan secara saintifik bahawa dua transaksi sebanyak AS$20juta dolar ke dalam akaun Najib itu datang daripada Good Star? Ini adalah pandangan berdasarkan kerana analisa ‘bijak’ anda sahaja?

Adam: Saya tidak setuju. Saya tidak ada bukti berkaitan akaun bank itu tetapi saya ada bukti tentang sebelum dan selepas pemindahan. Sebagai penganalis, rasanya itu sudah cukup sebagai bukti.

Shafee: Adakah anda tahu bahawa Najib percaya dana itu sebenarnya datang dari Raja Arab Saudi? Rumusan anda ini berdasarkan laporan SPRM semata-mata.

Adam: SPRM tidak beri saya dokumen bank yang menunjukkan duit daripada dua sumber ini, Good Star dan 1MDB yang kemudiannya masuk ke dalam akaun Najib, saya berpandangan penyata bank sedemikian dengan melihat penyata bank antara dua akaun bank ini.

Shafee: Bagaimana anda tahu wang yang di pindahkan oleh Good Star kepada Riyad Bank adalah daripada 1MDB dan ianya bukan daripada sumber berasingan dua entiti?

Adam: Saya tidak tahu.

Shafee: Anda hanya buat tekaan menggunakan masa dan tarikh wang masuk ke dalam akaun Najib?

Adam: Saya tidak meneka, saya panggil itu jangkaan sahaja.

Shafee: Adakah anda tahu bahawa jangkaan boleh dibuat tanpa bukti? Mengapa kamu tidak tanya dokumen bank daripada SPRM?

Adam: Saya ada tanya tetapi mereka tidak berinya pada saya.

Shafee: SPRM tidak beri kamu dokumen berkaitan Bank Riyad? Kamu ambil masa dua tahun untuk buat keputusan mana datangnya sumber dan dana itu melalui aliran wang tetapi adakah anda lihat perspektif Najib mana beliau dapat dana itu?

Adam: Saya tidak perlu tahu semua itu kerana hanya mendapat arahan daripada SPRM untuk bantu analisis aliran wang.

Prosiding bersambung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Adam sedang memberikan keterangan terhadap pertuduhan dihadapi Najib berkaitan penyewelengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi di sini.

Ketika ini, bekas Perdana Menteri itu sedang berdepan perbicaraan melibatkan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014. -MalaysiaGazette