GEORGE TOWN – Semua masjid serta surau di Pulau Pinang diminta mendirikan solat sunat hajat bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, solat sunat hajat itu akan diadakan serentak selepas solat Jumaat pada 13 Oktober ini.

“Doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT adalah menjadi lambang solidariti berpanjangan umat Islam bagi keamanan Palestin.

“Kita juga membantah sekeras-kerasnya serangan yang tidak berperikemanusiaan, kekejaman serta kezaliman berterusan dilakukan Israel.

“Ini kerana serangan mereka bukan saja menyebabkan kemusnahan harta benda malah kehilangan banyak nyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette