KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berikrar akan mendermakan wang hasil kemenangan kes saman fitnah olehnya terhadap dua pemimpin DAP, Tony Pua dan Yeo Bee Hin.
Ia susulan daripada tindakan Tony Pua dan Bee Yin yang menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kedua-dua mereka membayar ganti rugi RM350,000 kepada Mei Fun tahun lalu.
Dalam satu kenyataan ringkas, Mei Fun melahirkan rasa syukur dan penghargaan tidak tertinggi kepada mahkamah serta parti MCA yang membantu membersihkan nama beliau selepas difitnah bekas Parlimen Damansara dan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu.
“Setelah hampir lima tahun berdepan dengan kes saman fitnah ini, akhirnya selepas menerima notis defenden tidak akan meneruskan rayuan sebaliknya menarik balik kes, saya amat lega sama sekali. Ini juga bermakna keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 November tahun lalu kekal.
“Kedua-dua mereka telah bertindak memfitnah saya pada tahun 2017, sejak itu pelbagai artikel di media massa dan juga media sosial seperti Facebook selepas satu sidang media oleh mereka.
“Mereka tuduh saya salah gunakan kuasa meluluskan penjualan tanah di Selangor di bawah nilai pasaran ketika saya berada dalam Jawatankuasa Tanah Daerah. Akhirnya kebenaran sudah terserlah di mahkamah.
“Selepas ambil kira kos perundangan, baki yang akan saya dapat sebanyak RM258,000 itu akan saya dermakan kepada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Hospital, terima kasih semua yang ada dalam perjuangan saya bersihkan nama,” katanya.
Hari ini sepatutnya pendengaran rayuan Tony Pua dan Bee Yin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang memerintahkan mereka berdua membayar RM350,000 kerana memfitnah Mei Fun tanpa bukti.
Bagaimanapun, ketika prosiding hari ini, mahkamah dimaklumkan Tony dan Bee Yin akan menarik balik rayuan dan membayar kos tersebut.
Keputusan Mahkamah Tinggi oleh Hakim Datuk Roslan Abu Bakar yang memutuskan Pua dan Bee Yin bertanggungjawab memfitnah Mei Fun melalui tiga artikel disiarkan dalam portal berita online The Malay Mail, Free Malaysia Today dan Nanyang Siang Pau pada tahun 2017 itu kekal.
Ketika itu, Roslan memerintahkan Pua dan Bee Yin masing-masing membayar RM200,000 dan RM150,000 kepada Mei Fun bagi ganti rugi am dan ganti rugi teruk dan turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos berjumlah RM50,000.
Roslan berkata, artikel itu memberi gambaran bahawa Mei Fun selaku Ahli Parlimen dan pemimpin MCA telah menggunakan kedudukan dan pengaruhnya dalam jawatankuasa untuk membolehkan pembelian tanah itu oleh MCA di bawah nilai pasaran.
Selain itu Pua dan Bee Yin mendakwa Mei Fun juga telah menyalahgunakan kuasa serta meletakkan dirinya dalam kedudukan konflik kepentingan.
Tony dan Bee Yin mendakwa Mei Fun didakwa meluluskan penjualan tanah di Selangor di bawah nilai pasaran ketika beliau berada dalam Jawatankuasa Tanah Daerah.
Bagaimanapun plaintif tidak pernah menjadi ahli jawatankuasa seperti didakwa oleh defendan, sehubungan itu mahkamah berpuas hati bahawa plaintif berjaya membuktikan semua empat kenyataan dikeluarkan oleh defendan adalah memfitnahnya.
Defendan (Pua, Bee Yin) juga tidak pernah mengesahkan dengan pihak berkaitan atau melalui dokumen sama ada Mei Fun adalah ahli jawatankuasa. -MalaysiaGazette