MELAKA – Melaka sedang memperkasakan usaha menggalakkan penjaja kecil tepi dan usahawan negeri menggunakan transaksi digital dalam perniagaan mereka.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia selaras dengan sasaran menjadikan negeri pelancongan itu sebagai Bandar Pintar menjelang 2030.
Menurutnya, fokus utama kerajaan ketika ini untuk mendigitalkan Melaka dengan kemudahan pintar termasuk memastikan seluruh negeri Melaka mendapat liputan 5G dalam tempoh tujuh tahun lagi.
“Kita sedang galakkan dan mendidik semua usahawan, peniaga kecil walaupun di tepi jalan dan pasar malam menggunakan transaksi tanpa tunai sekali gus menaikkan taraf ekonomi mereka.
“Kerjasama ini turut melibatkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang akan beri geran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa dan Expo Smart Melaka 2023 (SMIX 2023) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Expo selama tiga hari itu disertai lebih 100 pempamer industri digital dan bandar pintar dari dalam dan luar negara
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pihaknya mendapat banyak tawaran daripada syarikat telekomunikasi untuk menghubungan Melaka dengan fiber optik yang akan dipertimbangkannya.
“(Selepas itu) Melaka akan jadi negeri perintis pertama mendigitalkan semua aspek dalam bentuk statisistik kepada masyarakat.
“Kita akan ada satu database yang cukup baik kepada rakyat tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette