Datuk Shahul Hamid Dawood

KUALA LUMPUR – Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) menyifatkan Belanjawan 2024 sebagai sangat komprehensif terutamanya bagi  memperkasa warga tempatan melalui pelbagai program latihan kemahiran.

Menurut Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood, peruntukan diumumka  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  petang tadi dengan memperuntukkan dana RM1.6 bilion untuk menyediakan 1.7 juta tawaran latihan amat dialu-alukan.

Kata Shahul, HRD Corp bertanggungjawab mendorong aspirasi pengembangan bakat Malaysia melalui pungutan levi daripada majikan dan pembiayaan program latihan serta pembangunan untuk tenaga kerja Malaysia.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah mengembangkan misi kami merangkumi penempatan pekerjaan dan latihan industri, bimbingan serta kaunseling kerjaya di samping mengembangkan peluang menjana pendapatan bagi rakyat Malaysia dari pelbagai kemahiran, latar belakang dan kemampuan.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab memperkasakan latihan kemahiran dan pembangunan Malaysia, inisiatif-inisiatif ini adalah asas untuk memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat latihan dan pekerjaan, seiring dengan aspirasi MADANI Kerajaan untuk memacu pertumbuhan dan hasil yang saksama bagi setiap anggota masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar hari ini mengumumkan HRD Corp akan mengunakan semula dana khas menggunakan 15 peratus daripada jumlah kutipan levi bagi melaksanakan Program Latihan MADANI merangkumi program latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta golongan rentas seperti bekas banduan, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan pesara.

Kata Shahul lagi, melalui kutipan HRD levi, pihaknya akan meneruskan usaha dalam memperkenalkan dan meneruskan lebih banyak program pembangunan kemahiran selain daripada meningkatkan kapasiti tenaga kerja Malaysia berorientasikan digitalisasi, TVET serta kemahiran kerja masa depan.

“Kami sangat bersemangat bekerjasama dengan majikan Malaysia, pemain industri dan pembekal latihan untuk membiayai Inisiatif Latihan MADANI melalui peruntukan 15 peratus daripada HRD levi yang tidak digunakan.

“Ini akan membolehkan kami melaksanakan program peningkatan kemahiran dan penyesuaian semula untuk pekerja PKS, serta mencipta program pembelajaran dan pembangunan yang tepat bagi komuniti miskin dan yang kurang berkhidmat. Tidak dilupakan golongan warga emas yang ingin kembali bekerja, bekas banduan, ibu tunggal, OKU dan sebagainya.

“Tenaga kerja yang dinamik dan berkemahiran tinggi adalah penting untuk aspirasi Malaysia menjadi sebuah negara membangun sekaligus matlamat kerajaan dalam mencapai matlamat tenaga kerja berkemahiran menjelang 2030,” ujarnya. -MalaysiaGazette