Qiao Qi memerlukan RM550,000 bagi rawatan tumor hati yang dihidapinya.

BUKIT MERTAJAM –  Seorang remaja perempuan memerlukan bantuan orang ramai menampung kos rawatan penyakit tumor hati berjumlah RM550,000.

Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Tan Qiao Qi, 18,  hanya sedar menghidap Recurrent Embryonal Sarcoma of the Liver) pada hari pertama menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu pada 29 Januari lalu.

Jelas beliau, wajah gadis itu menjadi pucat sebelum dia muntah serta mengadu sakit tulang bahagian dada.

“Selepas dikejarkan ke hospital, tumor hatinya didapati telah pecah serta memerlukan pembedahan kecemasan bagi mengeluarkan darah kotor.

“Selain itu, doktor juga mengesahkan dua pertiga hati Qiao Qi diserang sel-sel kanser sekali gus memaksanya menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) lebih sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Remaja itu diserang kali pertama ketika menduduki peperiksaan SPM Januari lalu.

Sui Hau berkata, selepas rawatan itu, dia kembali pulih, namun tubuh genit gadis itu secara tiba-tiba menjadi kuning sebelum doktor mengesahkan sel tumorb menyerang semula baru-baru ini.

Katanya, selepas dirujuk ke sebuah hospital di Alor Setar, Kedah, Qiao Qi memerlukan pembedahan semula namun, ia hanya boleh dilakukan jika beratnya 48 kilogram (kg) berbanding 39 kg ketika ini.

“Disebabkan sel tumornya semakin ganas, gadis itu perlu dirujuk ke Hospital Universiti Malaya di Kuala Lumpur, namun memerlukan kos berjumlah RM550,000.

“Bantuan orang ramai amat diperlukan bagi menampung kos rawatan itu dalam usaha menyelamatkan nyawanya,” katanya.

Tambah Sui Hau, ibu bapa kepada remaja itu tidak dapat menampung kos rawatan susulan, Tan Chai Hee, 50, merupakan peniaga pakaian di pasar malam, manakala ibunya, Ng Sock Ching, 47, menjual pakaian di kedai.

“Pasangan itu turut menanggung anak sulung berusia 23 tahun yang masih belajar di universiti.

“Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh salurkan terus ke akaun Public Bank 3235 446 336 (One Hope Charity & Welfare) atau hubungi 016 4192 192 untuk maklumat lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette