Kementerian kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM41.2 bilion diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan (KKM) tahun depan.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan peruntukan terbesar dalam kalangan kementerian lain.

Menurut Menteri Kewangan itu, daripada jumlah tersebut RM5.5 bilion untuk kegunaan memperoleh bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin.

“Malaysia masih belum memenuhi nisbah seorang doktor kepada 400 pesakit. Ke arah itu, ketercapaian kemudahan kesihatan akan terus ditingkatkan bagi menyurai kesesakan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, bagi terus mengawal kesesakan di hospital KKM, kerajaan juga akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan menyumber luar pesakit ke hospital lain termasuklah hospital tentera, universiti dan swasta dengan peruntukan RM200 juta.

Beliau turut mengumumkan beberapa projek pembangunan baru akan dilaksanakan tahun depan melibatkan Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, kerja awalan Hospital Sultanah Aminah 2 dan Blok Patologi Tambahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

“Selain itu turut dibina o Bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia; lima buah klinik kesihatan baharu antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan, Jerantut, Pahang; Kuala Jengal,
Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabahn termasuklah Institut Kanser di Sarawak,” katanya lagi.

Katanya lagi, kerajaan juga memperuntukkan RM300 juta untuk membaik pulih 400 buah klinik uzur yang masih punyai struktur kayu dan pendawaian usang tahun depan.

Sementara itu, Anwar memaklumkan RM766 juta turut disediakan untuk perolehan peralatan perubatan di hospital KKM bagi menggantikan peralatan yang mencecah Beyond Economic Repair (BER) di samping memenuhi keperluan pelbagai disiplin perkhidmatan baharu.

“Ini termasuk RM200 juta untuk perolehan bagi memastikan kesiagaan perkhidmatan kesihatan dalam memberi respons kepada panggilan kecemasan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette