Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM6.8 bilion untuk Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) untuk tahun depan.

Selain itu sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET dan sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak sebanyak RM1.6 juta akan dimanfaatkan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) bagi menyediakan 1.7 juta tawaran latihan.

Kata Menteri Kewangan itu lagi, turut disediakan tahun depan RM17 juta bagi melaksanakan Program Tahfiz TVET.

“Untuk membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, setakat Oktober tahun ini, sebanyak 17 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 44 syarikat swasta telah terlibat dalam pemeteraian 61 memorandum persefahaman mencakup kerjasama melalui pembangunan kurikulum serta sumbangan peralatan dan kepakaran.

Tambah beliau, RM180 juta Dana Latihan TVET untuk Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK)menyediakan pinjaman pendidikan kepada 12,000 pelatih yang mengikuti Program Persijilan Kemahiran.

Sementara itu, kata Anwar, bagi menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran serta menceburi bidang baharu, kerajaan bersetuju melaksanakan pelepasan cukai sehingga RM2,000 bagi yuran kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2026.-MalaysiaGazette