LONDON – Selebriti sukan terkenal, Cristiano Ronaldo muncul pemain bola sepak menerima bayaran tertinggi di dunia pada tahun ini.
Menurut Forbes, pendapatan diperoleh penyerang antarabangsa Portugal itu melebihi pemain seperti Lionel Messi dan Neymar dalam tempoh 12 bulan lalu, menurut Forbes.
Ronaldo juga disenaraikan Forbes sebagai atlet dengan bayaran tertinggi dalam mana-mana sukan apabila mendahului senarai dengan jumlah pendapatan dijangka AS$260 juta (RM1.22 bilion).
Forbes melaporkan kontrak Ronaldo bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr yang disertainya dari Manchester United pada Januari lalu dilapor bernilai AS$200 juta (RM945 juta) manakala portfolio sokongannya termasuk Nike dan Jacob & Co dianggarkan bernilai AS$60 juta (RM284 juta) setiap tahun.
Messi menduduki tempat kedua dalam senarai itu dengan jumlah pendapatan dijangka AS$135 juta (RM638 juta), dirangsang susulan perpindahannya ke kelab Majos League Soccer (MLS), Inter Miami.
Messi adalah pemain MLS pertama yang muncul dalam 10 teratas sejak David Beckham pada tahun 2012.
Pengaruh Liga Pro Saudi jelas dilihat dalam senarai Forbes dengan empat pemain (Ronaldo, Neymar, Karim Benzema dan Sadio Mane) berada dalam senarai 11 teratas dunia.
Menurut Forbes, gabungan pendapatan empat pemain Liga Pro Saudi dikira untuk lebih separuh daripada AS$995 juta (RM4.7 bilion) yang diperoleh secara kolektif oleh semua 11 pemain dalam senarai terkaya.
Kylian Mbappe berada di kedudukan seterusnya, di belakang bekas rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain, Neymar, dengan jumlah pendapatan AS$110 juta (RM520 juta).
Erling Haaland dari Manchester City adalah pemain Liga Perdana Inggeris dengan gaji tertinggi dengan jumlah pendapatan tahunan lebih tinggi berbanding pemain Liverpool, Mohamed Salah dan rakan sepasukan Kevin De Bruyne.
Menurut Forbes, angka pendapatan di padang termasuk semua wang hadiah, gaji dan bonus yang diperoleh dalam tempoh 12 bulan lalu manakala pendapatan di luar padang adalah anggaran tawaran penajaan, yuran penampilan, pendapatan pelesenan dan pulangan tunai daripada perniagaan yang dikendalikan. – Agensi