Sabri dan Angeline dinikahkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Angeline Tan, 56, bersyukur kini bergelar isteri kepada pelakon dan pengarah, Sabri Yunus, 62, sekali gus berstatus Muslim selepas menjalin persahabatan baik selama 35 tahun.

Angeline atau nama Islamnya, Ardini berkata, dia sekarang berasa tenang dan bahagia kerana segala urusan perkahwinan berjalan lancar serta dikurniakan seorang suami yang sangat baik dan penyayang.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah di atas kurniaan-Nya kepada saya dan suami. Saya kini tenang, rasa bahagia dan gembira. Saya juga berterima kasih kepada semua yang mendoakan kebaikan buat kami dan hanya Allah yang membalasnya.

“Saya juga amat terharu dengan komen-komen baik dan positif daripada netizen yang memberikan kata-kata semangat kerana apa yang berlaku adalah aturan takdir saya dan suami yang sudah ditetapkan Allah,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

“Di sini, ingin dijelaskan saya baru memeluk Islam pada 26 September 2023 dan bukannya pada bulan Oktober tahun lalu, sebagaimana di dalam laporan berita akhbar bahasa Cina. Saya perlu betulkan kenyataan ini agar tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Ditanya keistimewaan suaminya, Angeline berkata, Sabri yang dikenalinya lebih 30 tahun adalah seorang individu serius, sangat penyayang, sopan ketika bercakap, tidak kedekut ilmu dan sentiasa sedia membantu rakan-rakan.

“Ramai yang tengok abang (Sabri) sebagai kelakar tapi sebenarnya dia seorang yang serius dan tegas. Dia juga sangat penyayang, baik hati, suka membantu, sopan ketika bercakap dan saya amat mengagumi dirinya.

“Selama kami berkawan baik, dia (Sabri) juga adalah guru saya untuk membuat rujukan mengenai bahasa Melayu. Dulu, saya memang tidak fasih bercakap bahasa Melayu dan akan selalu tanya dengan abang dan dia akan membantu saya,” katanya.

Semalam, pasangan Sabri dan Angeline selamat bernikah di dalam sebuah majlis tertutup di Musalla Teduhan Doa, Kangar, Perlis.

Mereka dinikahkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan disaksikan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Terdahulu, Sabri yang dikenali dengan watak Wan Ismail Golok dan Pak Ya Concodei sudah 16 tahun bergelar duda selepas kematian isterinya, Norraya Mohd Yusof akibat penyakit kanser.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast