KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membuat persiapan dan bersiap sedia untuk menghadapi situasi banjir akibat cuaca monsun yang dijangka melanda bermula November hingga Disember tahun ini.
ATM melalui markas-markas formasi di seluruh negara bersedia mengatur gerak anggota dan aset-asetnya khususnya di kawasan-kawsan berisiko tinggi dan sering dilanda bencana alam akibat fenomena musim tengkujuh,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mindef berkata, persiapan tersebut merangkumi kekuatan anggota dan aset ATM yang mencukupi serta boleh di gerakkan dalam masa yang singkat dan pada bila-bila masa yang diperlukan.
“Pihak ATM sentiasa bersedia melaksanakan tugas sekundernya untuk bersama-sama agensi-agensi awam yang lain seperti Agensi Pengurusan BencanaNegara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan setiap agensi berkaitan menerusi Operasi Murni (OP MURNI).
“Kerjasama juga turut meliputi aspek perancangan dan koordinasi tindakan dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diwujudkan di setiap daerah bagi memastikan segala bentuk bantuan dan operasi berjalan dengan lancar,” tambahnya.
ATM akan terus memberi tumpuan terhadap operasi banjir di kawasan-kawasan terjejas.
Ia merangkumi 3 fasa utama iaitu atur gerak OP MURNI iaitu Pra-Aturgerak Banjir (sebelum), Semasa Banjir dan Pasca Banjir (selepas). Demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan rakyat, Mindef dan ATM akan tetap bersama dan sentiasa bersedia menghulurkan khidmat bakti.
Selain itu, Mindef turut melaksanakan perancangan khususnya operasi pasca banjir di negeri-negeri terlibat serta akan memaklumkan sebarang perkembangan mengenai sebarang operasi berkaitan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette