KUALA LUMPUR – Bangunan Kementerian Buruh yang baharu disiapkan dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia mengalami kerosakan teruk akibat serangan bom rejim zionis terhadap rakyat Palestin baru-baru ini.
Pengarah PASRelief, Mohd Yusni Mat Piah berkata, bangunan itu mula dibangunkan pada 15 Januari 2023 dan berjaya disiapkan pada bulan Ogos lalu dengan jumlah kos pembinaan sebanyak RM1.1 juta.
“Pagi ini, PASRelief menerima khabar dari Palestin bahawa bangunan Kementerian Buruh yang baru siap dan tidak sempat pun digunakan lagi itu turut terkesan oleh serangan.
“Manakala bangunan Kementerian Buruh yang lama di sebelahnya telah musnah menyembah bumi. Bangunan baru yang bakal dijadikan tempat rakyat Palestin mencari rezeki kini sudah rosak dan tidak dapat digunakan lagi.
“PASRelief bertekad untuk terus kembali mengumpulkan dana yang secukupnya bagi membaik pulih semula bangunan Kementerian Buruh tersebut dengan lebih baik dan in sha Allah akan dimanfaatkan oleh rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Yusni, PASRelief mengecam sekeras-kerasnya tentera rejim zionis ke atas rakyat di Palestin yang semakin mengganas dan biadap sehingga menyasarkan orang awam terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.
“Mereka bertindak lebih biadap apabila menggunakan bom fosforus putih yang mana ia adalah diharamkan di peringkat antarabangsa.
“Antara yang menjadi sasaran bom rejim zionis juga adalah bangunan awam termasuklah bangunan Kementerian Buruh yang dibina oleh PASRelief,” kata kenyataan yang sama.
Sehubungan itu, pihaknya mengajak dan menyeru orang ramai untuk turut bersama merebut ruang dan peluang dengan menyumbang dalam menambah baik pulih bangunan tersebut.
Katanya, segala bentuk sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank, Tabung Kemanusiaan PASRelief (5640 7061 4481) atau hubungi hotline di talian 017-500 1144. – MalaysiaGazette