Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memperoleh gaji premium lebih RM4,000 sebulan dengan melakukan reformasi kepada Politeknik di bawah kendaliannya.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, KPT antara lain juga akan menjalin hubungan kerjasama lebih aktif dengan pihak industri dan menyediakan program baharu yang menepati keperluan negara serta industri TVET.

Beliau berkata, setakat ini graduan lepasan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) atau Universiti Awam (UA) yang sudah menerima gaji premium adalah dalam lingkungan 10 peratus daripada keseluruhan graduan TVET di bawah KPT.

“Bagaimanapun, graduan lepasan UA dengan gaji RM2,500 ke atas adalah seramai 38 peratus iaitu mereka yang mempunyai ijazah.

“Bagi lepasan Politeknik, mereka yang menerima gaji premium RM4,000 ke atas dengan kelulusan diploma ialah 0.9 peratus, tetapi yang RM2,500 ke atas adalah 6.1 peratus.
“Sasaran kita bukan sahaja kebolehpasaran graduan tetapi untuk graduan TVET mendapat gaji premium,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang ingin mengetahui kolaborasi KPT dalam memartabatkan graduan TVET daripada segi upah dan gaji yang dilihat sangat rendah. – MalaysiaGazette