Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sekali lagi menimbulkan ketegangan dalam Dewan Rakyat hari ini apabila mempersoalkan fakta ketika Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) berbahas.

Mohd Sany bangun mempertikaikan kenyataan Zulkafperi yang mendakwa PH (Pakatan Harapan) ada membuat janji untuk memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) satu ketika itu.

“Saya nak betulkan fakta (Ahli Parlimen) Tanjong Karang sebut tadi, dia sebutkan tadi soal berkaitan (mansuh) PTPTN.

“Dalam manifesto PH tidak sebut pun nak mansuh PTPTN yang sebut adalah (Ahli Parlimen) Kubang Kerian, kena betulkan balik fakta.

“Ini salah fakta, kita (PH) tak sebut (mansuh) PTPTN, saya sudah semak tiga kali, tak sebut pun mansuh PTPTN,” katanya di Dewan Rakyat.

Mohd Sany berkata demikian ketika mencelah perbahasan Belanjawan 2024 oleh Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) di Dewan Rakyat hari ini.

Semuanya bermula apabila Zulkafperi mendakwa PH pernah berjanji untuk memansuhkan pinjaman PTPTN ketika melancarkan manifestonya.

“Belanjawan ini juga langsung tidak menghormati janji Pilihan Raya kerajaan Madani kepada rakyat. Hutang PTPTN tidak langsung dihapuskan malah menawarkan diskaun sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast