KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan kekal untuk melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan, kementerian itu tidak pernah mengggugurkan lima hadis daripada modul itu, seperti yang didakwa sebelum ini.
“Saya sudah jawab 42 hadis ini dikekalkan dan akan dilaksanakan di semua sekolah,
“(Yang lima hadis) itu tidak pernah digugurkan. Saya sudah jawab dari awal,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang bertanya mengapa terdapat lima hadis digugurkan daripada Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.
Mengulas lanjut, Fadhlina menambah, inisiatif pelaksana modul itu berupaya mengangkat kemuliaan insan (karamah insaniah) bertepatan dengan Teras Kedua Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang merangkumi tiga elemen utama penghayatan nilai iaitu adab, akhlak dan integriti.
Menurutnya, usaha itu juga bertujuan membentuk sahsiah dan nilai yang baik selain memupuk semangat kasih sayang dan menerapkan kefahaman agama dalam kalangan murid Islam ke arah melahirkan generasi Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC).
Selain itu katanya beliau, aktiviti penghayatan itu juga menyokong elemen dalam rukun Malaysia Madani khususnya yang berkaitan dengan hormat dan ihsan.
“KPM memberi jaminan bahawa program penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi ini hanya akan melibatkan semua murid Islam sahaja tanpa pelibatan murid bukan Islam dalam semua aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah.
“Pada tahun 2023, KPM melaksanakan aktiviti penghayatan hadis 40 secara rintis di SMKA dan SABK dengan menggunakan modul yang mengandungi kesemua 42 hadis yang terkandung dalam buku Hadis 40 Imam Nawawi,” katanya.
Fadhlina memberitahu, modul tersebut dibangunkan oleh KPM dan diselaraskan dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi memastikan syarah atau kupasan hadis dalam modul tersebut sesuai dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.
“Modul penghayatan ini bukanlah mata pelajaran baharu, namun modul tersebut merupakan bahan pengayaan bagi mata pelajaran Pendidikan Islam.
“Oleh yang demikian, modul yang digunakan tiada pertindanan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam sedia ada.
“KPM merancang untuk melaksanakan perluasan aktiviti penghayatan ini ke semua sekolah KPM yang hanya akan melibatkan murid beragama Islam sahaja mulai tahun 2024,” katanya. – MalaysiaGazette