Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus berteka-teki mengenai calon yang akan dinamakan gabungan itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Beliau yang juga Premier Sarawak berkata calon yang akan mempertahankan kerusi itu akan diumumkan sama ada esok atau Khamis ini.

“Kita tunggu pengumuman mungkin esok atau lusa…beliau (calon) seorang lelaki,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen Swinburne University of Technology di sini hari ini.

Pada 15 Okt lepas, Abang Johari berkata beberapa individu telah dikenal pasti sebagai calon kerusi berkenaan, namun gabungan itu akan memastikan calon yang bakal bertanding bersih daripada sebarang rekod jenayah dan rasuah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Jepak pada 4 Nov ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 21 dan 31 Okt.

PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas.

PRK itu menyaksikan seramai 22,804 orang pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.- BERNAMA