Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini kembali kecoh apabila RSN Rayer (DAP-Jelutong) mendesak Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor menghalang Ahli Parlimen Pas menggunakan perkataan ‘kafir’ semasa persidangan.

Rayer berkata, ia berikutan tindakan Datuk Ahmad Marzuk (Pas-Pengkalan Chepa) yang menggelarkan beliau dan Lee Chuan How (DAP-Ipoh Timor) semasa sidang Parlimen, sejak semalam.

“Saya ingin bertanya kepada Timbalan Speaker, kelmarin Pengkalan Chepa telah melontarkan perkataan kafir terhadap saya dan Ipoh Timur.

“Persoalan saya adakah perkataan kafir adalah sesuai yang akan dinormalisasikan dalam Parlimen kita? Perkara itu telah diberi liputan dalam semua media massa termasuk Singapura.

“Adakah Dewan Rakyat ini akan membenarkan pihak-pihak di sebelah sana (pembangkang) untuk mengulangi perkataan kafir.

“Saya minta supaya Timbalan Speaker membuat ruling kerana di luar sana rakyat Malaysia berbilang kaum dan bangsa terguris, hampa dengan kenyataan itu,” katanya RSN Rayer ketika bangkit mencelah pada sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) didakwa menyebut ‘DAP kafir’ mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.

Rayer menyifatkan kenyataan daripada wakil rakyat Pas itu sebagai kurang sopan dan biadab kerana DAP juga dianggotai oleh Ahli Parlimen yang beragama Islam.

Selain itu, Rayer juga mendakwa bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak pernah menggunakan perkataan ‘kafir’ kepada wakil rakyat DAP.

“Daripada pengetahuan saya, Allahyarham Tok Guru Nik Aziz sendiri pun tidak pernah menggunakan perkataan itu terhadap kita.

Susulan desakan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor kemudian meminta Rayer mengemukakan perkara itu sebagai satu usul kepada Dewan Rakyat untuk dipertimbangkan.

“Yang Berhormat Jelutong duduk, Yang Berhormat Ipoh Timur pun duduk.

“Mungkin dalam sesuatu keputusan ada yang suka, dan ada yang tidak, baik dalam apa senario pun, dalam apa-apa isu sekalipun, kita mempunyai peraturan baik di sebelah kanan atau di sebelah kiri, gunakanlah (peluang).

“Saya berharap Yang Berhormat Jelutong kerana telah membangktikan isu berkaitan, usulkan perkara itu,” katanya.

Rayer kemudiannya menerima teguran Timbalan Speaker itu sambil memohon Dewan Rakyat lebih tegas serta tidak membenarkan perkataan kafir diulang dan digunakan semasa persidangan Parlimen.

“Saya terima arahan yang diberikan Timbalan Speaker, cuma saya minta Timbalan Speaker tegas lagi supaya tidak membenarkan kenyataan diulang di dewan ini

“Ini kerana kenyataan itu adalah kenyataan membenci, semua telah menonton dan video itu telah menjadi viral

“Inilah standard pemimpin-pemimpin Pas,” katanya. – MalaysiaGazette