KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor disyaki mengemukakan penyata bank mengandungi butir matan palsu berjumlah lebih RM170,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30an ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.
“Suspek disyaki mengemukakan penyata bank yang mengandungi butir matan palsu untuk mendapatkan kerja perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan landskap sebuah bangunan
“Ia juga bagi memenuhi syarat penilaian kewangan ketika menyertai perolehan secara sebut harga pada tahun 2019,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi tujuan permohonan reman pagi ini. – MalaysiaGazette