Penganggur curi beg silang dan laptop milik pengandam butik pengantin di pasaraya ampang jaya diberkas semalam.Ihsan IPD Ampang Jaya

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang disyaki melarikan beg silang dan komputer riba milik seorang lelaki di butik pengantin di dalam sebuah pasar raya di Ampang Jaya, di sini, pada Isnin lalu ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa yang merupakan pembantu pengandam membuat lapuran pada hari kejadian apabila menyedari dua beg miliknya hilang pada jam 5.30 petang semasa berada di dalam butik itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa kehilangan beg silang dan juga beg yang berisi komputer riba serta barangan lain yang dianggarkan kerugian lebih RM2,000” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azam, bertindak atas laporan pengadu, polis pada Rabu lalu melakukan tangkapan ke atas suspek lelaki seorang berusia 26 tahun di Desa Lembah Permai Ampang.

Tambah beliau, tangkapan tersebut membawa kepada rampasan sebuah motosikal disyaki digunakan semasa melakukan jenayah tersebut.

Mohd Azam berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki sembilan rekod jenayah lampau manakala ujian saringan awal urin mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek sedang direman empat hari bermula Khamis hingga Ahad ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri barang,” ujarnya.

Tambah beliau, jika disabitkan kesalahannya suspek boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh penjara atau sebat. – MalaysiaGazette