GEORGE TOWN – Seorang pemilik bengkel lori mengalami kerugian RM250,000 selepas diperdaya dalam urusan jual beli sebuah lot kedai di Rawang, Selangor.
Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Ivan Lee berkata, lelaki berusia 52 tahun itu telah membayar RM150,000 kepada seorang individu yang mengaku lot kedai itu miliknya pada 2002.
Jelasnya, selain itu, mangsa turut membelanjakan RM100,000 bagi renovasi serta peralatan untuk kegunaan membaiki lori di lot kedai itu.
“Selepas hampir 21 tahun menjalankan perniagaan, mangsa tiba-tiba didatangi seorang lelaki baru-baru ini sebelum mendakwa kedai tersebut sebenarnya milik bapanya yang kini sudah meninggal dunia.
“Mangsa memaklumkan dia telah membeli lot kedai itu dengan seorang individu pada 2002 termasuk menunjukkan dokumen serta geran.
“Bagaimanapun, hasil semakan pihak berkuasa mendapati geran yang diberikan kepada mangsa palsu, selain lot kedai itu bukan atas nama individu yang menjual premis berkenaan pada 2002,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambah Ivan, susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis selain tampil membuat aduan agar tiada individu menjadi mangsa sepertinya.
“Kita nasihatkan orang ramai agar membuat semakan dengan pihak berwajib sebelum membuat sebarang urusan jual beli premis mahupun tanah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Malah, kita juga meminta para pemilik premis kerap melakukan pemeriksaan berkala ke atas milikan mereka agar pihak luar tidak menggunakan lokasi untuk memperdayakan orang lain.
“Contohnya dalam kes ini, selepas 21 tahun baru pemilik tampil mendakwa premis itu miliknya sedangkan membuat mangsa sendiri tidak sangka diperdaya dalam tempoh masa lama,” katanya. – MalaysiaGazette