Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-69 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Kerajaan Perpaduan didakwa telah melanggar Perlembagaan apabila mengamalkan budaya pilih kasih kepada negeri-negeri pembangkang, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Malah Presiden Pas itu berkata, Putrajaya jelas melanggar prinsip demokrasi di mana Islam masih lagi ‘dikepung dan dipenjara’ semata-mata kerana ingin meneruskan agenda penjajah.

“Bukan itu sahaja, kerajaan ini melanggar prinsip perlembagaan sehingga merempuh konsep federalisme dan perjanjian yang telah dimeteraikan serta melanggar sumpah yang diikrarkan.

“Sikapnya terhadap kerajaan negeri yang diperintah oleh Pas-PN yang merupakan pembangkang bagi mereka menjadi bukti yang nyata secara khusus sejak zaman-berzaman,” katanya dalam ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam hari ini.

Jelas Abdul Hadi, keadaan itu terjadi apabila kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk daripada kalangan mereka yang bermasalah dan mahu menyelamatkan diri masing-masing.

“Mereka terdiri daripada mantan banduan, kluster mahkamah dan bakal yang hendak diselamatkan secara tidak bermoral dan tidak bermaruah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pas telah menjalankan post mortem prestasi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang berlangsung tahun lalu.

Langkah itu, katanya,  untuk melihat aspek kelemahan yang perlu diperbaiki.

Antaranya adalah kelemahan menarik undi pengundi bukan Melayu dan bilangan kerusi yang belum mencukupi untuk membentuk kerajaan walaupun berlaku peningkatan
mendadak.

“Aspek positif – antaranya mengekalkan sokongan pengundi muda, kekuatan media sosial, prestasi kerajaan negeri, imej bersih dan bebas rasuah, penambahan ahli dan cawangan, kesediaan jentera dan kualiti calon,” kata Abdul Hadi lagi.

Untuk rekod, Pas memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU15 lalu sehingga mencatatkan bilangan kerusi tertinggi dalam sejarah 71 tahun penubuhan parti berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast