Sallehen Mukhyi
Wakil Pas Selangor, Sallehen Mukhyi ketika pembahasan ucapan Dasar Presiden semepena Muktamar Tahunan Pas ke-69 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM,21 OKTOBER 2023,

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) dan Pas perlu menetapkan piawaian seperti kesiapsiagaan jentera sebelum meletakkan calon di mana-mana kerusi yang ingin ditandingi parti.

Wakil Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, langkah itu bagi mengelak calon-calon sukar berkempen ekoran tiada jentera parti di kawasan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak itu mencadangkan agar perbincangan mengenai perkara tersebut dilakukan sekarang dan bukan menunggu sehingga pilihan raya hampir tiba.

“Kita ambil yang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana PN belum menang, jadi perlu ada satu panduan serta perlu ada satu piawaian yang diberikan.

“Kita tidak mahu hanya meletakkan calon sedangkan jentera mereka tidak ada,” katanya ketika membentangkan usul menyokong ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Beliau menambah, pertimbangan untuk meletakkan calon juga tidak seharusnya berdasarkan resume yang dibawa oleh individu-individu yang ingin bertanding sahaja.

Sallehen memberitahu, Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu meletakkan calon sekiranya piawaian tersebut tidak dipenuhi.

Selain itu, beliau berharap faktor kebolehmenangan dijadikan asas untuk mempertimbangkan calon atau parti mana yang bakal diletakkan untuk bertanding.

“Pimpinan dalam PN boleh teropong tengok satu Parlimen, satu DUN, tengok siapa paling layak,” jelasnya.

Sementara itu, pembahas Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa ketika membahaskan usul yang sama berkata, parti-parti komponen PN perlu bersepakat lebih awal bagi menentukan kerusi-kerusi yang bakal ditandingi.

“Jangankan sebulan, baru-baru ini dua minggu, dah dekat pilihan raya baru tahu kerusi,” kata ADUN Jempol itu. – MalaysiaGazette