KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) menyasarkan untuk menanam 200,000 pokok sehingga tahun 2025.
Untuk itu beberapa aktiviti akan diteruskan untuk mencapai sasaran berkenaan.
Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang menjadi program tahunan UMS, Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, semua pelajar baharu tahun satu FPT seramai 160 akan menanam satu pokok satu pelajar dan akan dinamakan sebagai MYTREE.
Aktiviti ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.
Dr Kasim berkata, Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat UMS kali pertama telah diadakan pada 22 Jun 2022 dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-2, anjuran FPT.
“Pada program kali ini, tema pilihan yang diambil adalah ‘Hutan dan Kesihatan, bertepatan dengan kehendak dan aspirasi rakyat terhadap peranan hutan serta kepentingan hutan yang memberi kita banyak manfaat kepada kesihatan kita.
“Oleh itu, sempena Hari Hutan Antarabangsa pada hari ini, kita menyasarkan untuk menanam sebanyak 200 pokok,” katanya sewaktu majlis perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa.
Pada majlis tersebut, turut berlangsung pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UMS dan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA). – MalaysiaGazette