JASIN – Pasukan Bomba dan Penyelamat Melaka masih bertungkus lumus lebih 20 jam untuk memadam kebakaran
ladang kelapa sawit seluas 5.2 hektar di Ladang Lembah Merlimau, di sini, sejak petang semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (KUP), Mohd Sukur Md Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada kira-kira pukul 4 petang semalam.
Menurutnya, seramai 12 anggota dibantu kekuatan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Jasin dikejarkan ke lokasi dan mendapati kebakaran berlaku di ladang kelapa sawit seluas 20.2 hektar.
“Keluasan kawasan terbakar adalah 5.2 hektar dan kerja-kerja pemadaman memadam sisa kebakaran masih dijalankan menggunakan satu aliran setakat 1 petang ini.
“Sehingga kini, kita telah berjaya memadam 90 peratus atau 4.8 hektar daripada kawasan terbakar ” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Tambahnya, punca kebakaran ladang itu masih belum dikenal pasti dan orang ramai diminta lebih berhati-hati jika membuat pembakaran terbuka.
“Mereka juga diminta segera menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat jika berlaku kebakaran seperti ini,” katanya. – MalaysiaGazette