Zarul Ahmad Mohd Zulkifli

KUALA LUMPUR – Pengarah Eksekutif Kanan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendakwa beliau pernah memberikan wang tunai sebanyak RM2 juta kepada bekas perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan cek dengan jumlah yang sama kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerusi seorang ahli perniagaan

Beliau berkata, wang tersebut diserahkan olehnya kepada ahli perniagaan, G. Gnanaraja dalam pertemuan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada Ogos 2017. 

Ketika disoal peguam Gobind Singh Deo dalam kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, Zarul Ahmad menafikan kenyataan beliau tidak konsisten di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (kanan) bersama peguamnya, Gobind Singh Deo (kiri) berjalan keluar selepas prosiding kes rasuah yang menghadapi empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 JULAI 2021.

Gobind: Duit itu untuk Najib dan Guan Eng? RM2juta untuk Najib, RM2juta lagi untuk Guan Eng?

Zarul: Ya, betul.

Gobind: Tapi sebelum ini keterangan anda berlainan. Wang RM2 juta itu untuk Gnanaraja tapi sekarang kata lain. Apa yang kamu cakap di Mahkamah Sesyen Shah Alam?

Zarul: Tidak. Saya cakap yang sebetulnya dan konsisten. Saya telah buat pembetulan sebelum ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPM) bahawa wang tunai RM2 juta untuk Gnaraja dan satu lagi berasingan RM 2juta yang saya ambil melalui cek adalah untuk Lim (Guan Eng).

Gobind: Jadi anda pernah betulkan kenyataan ini? Maknannya tidak konsisten.

Zarul: Tidak, saya sudah betulkan.

Pada 2019, Gnanaraja didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan rasuah RM19 juta, membabitkan penipuan menutup kes berkaitan projek terowong Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Guan didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – MalaysiaGazette