JASIN – Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT), Umbai, di sini yang terbiar kerana tidak mendapat sambutan akan dijenamakan semula melibatkan peruntukan hampir RM40 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata, medan ikan bakar berusia 19 tahun yang ditutup Mac lalu itu akan dijadikan chalet dilengkapi taman tema air dan jeti pelancongan pertama di Melaka.
Menurutnya, pembinaan itu melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama bernilai RM5 juta menggunakan peruntukan Mcorp yang dijangka bermula tahun depan dan siap pada Mac.
“Untuk fasa pertama, kita akan baik pulih 24 lot gerai makan menjadi 24 buah chalet dilengkapi taman tema air mini, enam gerai kraftangan, sebuah restoran makanan laut, menara tinjau dan pentas persembahan.
“Penjenamaan ini bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) untuk kepelbagain produk di Melaka yang terkenal dengan restoran ikan bakar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, untuk fasa kedua pembinaan, kerajaan negeri akan memohon peruntukan berjumlah RM32 juta daripada kerajaan Pusat untuk mewujudkan jeti pelancongan pertama di Melaka ke Taman Laut Melaka di Pulau Undan.
“Selama ini, Melaka hanya menggunakan jeti nelayan untuk operasi bot ke Taman Laut Melaka jadi kita melihat perlunya sebuah jeti pelancongan kerana lokasinya yang strategik.
“Jadi tidak timbul soal pembaziran projek PIBT ini kerana sebenarnya kita sedang dalam penjenamaan semula sesuai dengan kehendak semasa pelancong ke Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette